JULAI 2022

Contohi Sarawak Dalam Soal Perpaduan Dan Toleransi Kaum Abg Jo


SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri YABhg Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang hadir ke Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Borneo 2022 bertempat di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Fasa 1, Sibu malam ini tadi.

Ketika berucap malam ini tadi, Abang Johari  berkata perpaduan yang utuh serta sikap saling hormat menghormati dalam kalangan  penduduk menjadikan budaya Sarawak begitu unik dan dicontohi oleh negeri-negeri lain.

Sarawak sangat bertuah kerana dikurniakan semangat toleransi yang tinggi dalam kalangan penduduknya yang terdiri dari pelbagai bangsa dan kepercayaan.

“Perpaduan kita begitu tinggi dan kita sama-sama yakin dan juga mempunyai kepercayaan yang tinggi di antara satu sama lain dan hormat menghormati di antara kita.

“Sebab itulah Sarawak sentiasa menjadi contoh yang diambil oleh rakan-rakan kita apabila melihat bagaimana corak hidup kita yang berlainan latarbelakang.

“Malah sewaktu pelancaran Keluarga Malaysia oleh YAB Perdana Menteri (Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob) di Kuching dahulu, beliau telah menyatakan bahawa kalau hendak melihat model Keluarga Malaysia, tengoklah Sarawak, Sarawaklah modelnya.”

Majlis kemudiannya dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan pelbagai etnik pada malam terakhir Pesta Kebudayaan Borneo yang telah bermula sejak 18 Julai lepas.

Sumber dari : Jiwa Bakti